Tajuk: Syahdu Lebaran-Dimanakah Silapnya?
Tarikh Tayangan : ‘On the spot’ di Radiniz Site
Kos perfileman : Bil letrik mengikut tariff semasa menaip.
Kos operasi kisah sebenar : Lebih kurang RM 500 ribu
Pendahuluan:
Filem ini adalah diadaptasi berdasarkan kisah benar yang terjadi dimana-mana sahaja institusi baik kerajaan mahupun swasta ataupun SME (Small Medium Enterprise). Perkara ini boleh terjadi apabila salah faham, kurang kajian, dan melaksanakan sesuatu perkara mengikut kemahuan sendiri akibat tidak mendapat bantuan atau nasihat ataupun tidak menerima nasihat kerana merasakan diri sendiri telah hebat.
Diharap filem ini dapat menjadi pedoman kepada setiap sanubari yang ada di muka bumi ini. Ini sedikit sebanyak akan memberi pengajaran kepada kita tentang kehidupan yang fana penuh fitnah di zaman akhir ini. Apakah yang kita akan lakukan jika ini terjadi? Setiap manusia pastinya akan menyelesaikan perkara tersebut secara berbeza. Paling ramai akan melaksanakan
Para Pelakon:
1. Syarikat A : Pakcik 1 (Pengurus Besar)
: Pakcik 2 (Kuli Pertama)
: Pakcik 3 (Kuli Kedua)
: Pakcik 4 (Kuli Sementara)
2. Syarikat A1 (Sub con Syarikat A)
3. Syarikat A2 (Sub con Syarikat A) : Uncle 1 (Pengurus Besar)
: Uncle 2 (Pengurus operasi)
: Uncle 3 (Pekerja terlatih yang lurus bendul)
: Uncle 4, Uncle 5, Uncle 6 (Pekerja Teknikal Bantuan)
4. Pengguna A : Pokcik 1+ dan Mokcik 1+ ( Mantan-mantan Pengurus Besar Bahagian)
: Pokcik 2 (Pengurus Besar Bahagian)
: Mokcik 2 (Pengguna dan penempah barangan)
: Pokcik 3A (Pengurus operasi lurus bendul tak bertauliah yang baru masuk)
: Pokcik 3B, Pokcik 3C, Pokcik 3D, Pokcik 3E (pengurus2 cuci tangan; termasuk telah bersara)
: Pokcik 4A – 4Z (Para juruteknik yang menjalani latihan)
: Mokcik 3 (Pengurus kewangan)
: Mokcik 4 (Pembantu pengurus kewangan)
Synopsis : Cerita ini mengisahkan bagaimana syarikat A yang membekalkan barangan bernilai ratusan ribu atau jutaan RM kepada pengguna A. Syarikat A mendapatkan barangan tersebut daripada syarikat A1. Tempoh jaminan barangan itu adalah selama 3 tahun.
Semasa penyerahan, barangan itu adalah dalam keadaan baik dan boleh beroperasi. MoU penyerahan pula telah ditandatangani oleh Pokcik 3B-3E dan disaksikan oleh Mokcik 2. Kerana kelak barangan ini akan digunakan oleh Mokcik 2.
Setelah penyerahan berlaku, konflik pun timbul antara Syarikat A dan Pengguna A. Konflik berlaku kerana Syarikat A (sama ada sedar atau tidak) tidak memberitahu bahawa barangan tersebut perlu mempunyai lesen yang khas dan spesifik sebelum kebenaran pengendalian. Selain itu, pengguna/pengoperasi barangan itu juga perlu ada lesen yang khas sebelum melaksanakan pengoperasian. Sememangnya tiada siapa yang layak untuk mengoperasikan peralatan itu di Pengguna A. Kesudahannya, barangan tersebut tidak dipakai selama beberapa tahun sehinggalah datangnya audit bahagian dan audit negara.
Mokcik 2 pun mengalami kegusaran dengan keadaan tersebut. Risau kerana dituduh rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Pendapat manusia, susah untuk dielakkan. Berkali-kali menerima tekanan daripada Pokcik 1+ dan Mokcik 1+ dan silih berganti. Berkehendakkan pengendalian dilaksanakan terhadap barangan tersebut. Auditor semestinya bertanya mengapa membeli barang tanpa dipakai dan sebagainya. Ini sangat merisaukan pihak Pengguna A. Dalam tempoh ini, Mokcik 2 menekan Syarikat A supaya memberitahu prosedur yang sepatutnya dijalankan untuk mendapatkan lesen-lesen tersebut. Syarikat A berusaha untuk membantu penyelesaian masalah tersebut dengan menghubungi pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen barangan ini. Prosedur demi prosedur diusahakan dengan hasil yang kurang memberangsangkan setiap kalinya. Barangan ini tetap tidak ada pengendalinya. Sementara itu, tekanan terus menerus diberikan kepada Mokcik 2 sehingga melibatkan Pokcik 3B hingga 3E oleh Pokcik 1+ dan Mokcik1+ termasuk rakan-rakan bawahan mereka, Mokcik1.1 hinggalah Mokcik infiniti. Tekanan juga diterima oleh Pokcik 1 dan Mokcik 1 daripada badan audit bahagian dan audit Negara. Tekanan atas tekanan secara berterusan….
5 tahun kemudian
Hari berganti hari. Malam berganti malam. Purnama berganti purnama. Tahun berganti tahun. Penyelesaian kelihatan masih belum dapat dicapai untuk perkara ini. Pokcik 3B hingga 3E turut kusut pemikiran mereka dalam menyelesaikan masalah ini. Ditambah lagi dengan kekusutan dalam perebutan dan pertelingkahan untuk mendapat jawatan yang lebih baik dan sebagainya. Mereka juga membantu dalam usaha untuk melaksanakan perkara yang sesuai seperti menyarankan untuk mewujudkan jawatan baru yang mempunyai ‘certified licence man’ bagi mengendalikan barangan ini. Saranan tersebut tidak diterima oleh pihak berkenaan kerana sebab-sebab tertentu. Semestinya kewangan dan sukar untuk menguruskan jawatan seperti ini.
Tatkala itu, pihak Pengguna A mendapat peluang untuk menambah pekerjanya. Pekerja yang diharap dapat mengendalikan atau membuat sesuatu penbaharuan terhadap perkara ini. Jika diikutkan, jawatan pekerja baru ini tidak layak untuk mengendalikan barangan seperti ini. Walaubagaimanapun, si Pokcik 3A pun melaporkan diri. Dalam keadaan masih lagi baru dan terkapai-kapai, banyak perkara yang perlu dipelajari olehnya. Dipendekkan cerita, Pokcik 3A diberikan tugas untuk mengendalikan jabatan kecil yang baru ditubuhkan dan juga menyelesaikan barangan tidak dipakai tersebut.
Pokcik 3A yang masih terkapai-kapai ini pergilah mencari apa sebenarnya barangan tak dipakai tersebut, yang menjadi kegusaran sekian lama oleh pihak Pengguna A. Banyak onak duri dilalui bagi merungkai permasalahan dan memikirkan penyelesaian yang sepatutnya dilakukan. Pokcik 3A terpaksa bergerak sendirian dalam hal ini. Berhubung dengan Syarikat A semula dan Syarikat A melantik sub con Syarikat A2 menggantikan Syarikat A1 yang dah bangkrap. Pembaikan demi pembaikan dilakukan terhadap barangan itu.
Kemudian, tugas yang paling sukar untuk dilaksakan adalah memindahkan barangan tersebut ke lokasi baru Pengguna A. Syarikat A2 diberi amanah oleh Syarikat A melaksanakan tugas ini kerana mereka berkelayakan. Kos perpindahan hanya bernilai beberapa puluh ribu sahaja. Tugasan sepatutnya diselesaikan dalam satu bulan, tetapi tidak mungkin, untuk perkhidmatan sebegini, perlu memakan masa, bagi memastikan pemasangan 100% tepat.
Purnama berganti purnama, projek perpindahan belum lagi selesai. Sebenarnya telah selesai dari segi perpindahan, hanya lewat dari segi pemasangan dan kekemasan. Selain itu perlu juga memanggil badan yang berkenaan untuk memastikan proses mendapatkan lesen barangan tersebut supaya dapat digunakan secara halal. Untuk proses mendapatkan lesen barangan, perlu diadakan lawatan oleh jabatan bertanggungjawab dan memeriksa keseluruhan sistem barangan tersebut.
Semasa lawatan pihak bertanggungjawab itu, sesuatu yang tidak disukai oleh Pokcik 3A berlaku. Memang sudah menjadi kebiasaan, entertain seperti makanan perlu ditempah untuk peserta terlibat dan biasanya Syarikat yang akan mengeluarkan duit. Dari segi hukum, Pokcik 3A tidak suka, tetapi faktor persekitaran seperti Mokcik 2, Pokcik 3B-3E dan juga Pokcik 4A-4Z, perlu ada makanan yang dibiayai oleh Syarikat. Dalam hal ini, tidak ada apa yang dapat dilakukan, Pakcik 3 wakil syarikat tidak memaklumkan pasal entertain sebegini padahal sepatutnya dia tahu dan tidak tahu mengapa seperti ingin mengambil kesempatan sehinggakan akhirnya Pokcik 3A terpaksa menjadi mangsa membayar kos makanan pada hari itu. Geram teramat sangat Pokcik 3A dibuatnya, jika makanan untuk fakir miskin, mungkin boleh dihalalkan, tetapi, ada yang lebih kaya. Namun segalanya telah menjadi bubur. Makanan tersebut memang syubahat dan boleh jatuh haram. Tetapi dalam hal ini qawaid fiqhiah perlu digunakan, terpaksa, kerana darurat, dilaksanakan jua penempahan makanan tersebut kerana mudarat yang lebih teruk akan berlaku iaitu, mereka mungkin memboikot barangan dan tidak membantu pengendaliannya. Pengendaliaan itu perlu kederat orang ramai. Dalam hal ini, ilmu mereka masih cetek dan tidak dapat membezakan halal dan haram. Jika dapatpun masih belum mampu menerimanya kerana sudah terbiasa. Oleh itu, tempahan makanan terpaksa dilaksanakan. Pokcik 3A adalah mangsa keadaan antara Syarikat A dan Pengguna A daripada pokcik dan mokcik amnya.
Dipendekkan cerita, proses hampir siap, hanya tinggal lebih kurang 15 % sahaja lagi tetapi telah berlalu beberapa purnama lamanya. Pengguna A memohon kebenaran kepada Mokcik 3 (pengurus kewangan) agar dapat memberikan pembayaran separuh harga kerana banyak yang telah diselesaikan oleh Syarikat A dan subnya Syarikat A2. Tetapi atas ketegasan dan ketelitian Mokcik 3, beliau tidak membenarkan sebarang pembayaran dilakukan kerana mahu segalanya siap 100%. Tatkala ini, Syarikat A berada dalam keadaan tertekan kerana berkata separuh bayaran telah diberikan kepada Syarikat A2. Pokcik 3A yang agak bendul dan kasihan terhadap Syarikat A telah berjanji akan dapat memberikan pembayaran sekurang-kurangnya separuh dahulu untuk Syarikat A. Tetapi akibat ketegasan Mokcik 3, tiada apa yang mampu untuk membantu mereka. Mokcik 3 bertegas supaya dapatkan terlebih dahulu Licence untuk barangan itu daripada pihak berkuasa berkenaan barulah pembayaran akan dilaksanakan. Pembantu Mokcik 3 iaitu Mokcik 4 menyatakan selain itu perlu mengisi beberapa borang kelewatan perkhidmatan tersebut dan sebab musababnya.
Ternyata ketegasan Mokcik 3 adalah hebat sekali. Mokcik 3 menyatakan Syarikat A pernah melakukan perkara sama (kelewatan perkhidmatan) dan itulah sebabnya beliau bertegas sedemikian rupa. Pokcik 3A tidak dapat melakukan apa-apa melainkan membantu menguruskan bersama supaya pengeluaran lesen dapat dipercepatkan. Berkali-kali Pakcik 1 hingga 3 dari Syarikat A menghubungi bertanyakan status pembayaran. Apa lagi dapat dilakukan, Pakcik 3 memang tidak tahu apa-apa, yang hanya diketahuinya hanyalah bila duit hendak dibayar. Pokcik 3A banyak berhubung dengan Uncle 1 hingga 3 sahaja kerana mereka lebih mengetahui urusan teknikal tersebut. Inilah susahnya jika asyik melaksanakan sub kontraktor. Selok belok teknikal tidak berapa difahaminya. 15% itu bukan mudah untuk disiapkan, sekecil-kecil perkara walaupun kecil perlu diteliti kerana boleh menjadi besar kerana barangan ini adalah berbahaya jika tidak dikendalikan dengan baik. Meletup sahaja, konkrit dalam tanah boleh berlubang.
Dipendekkan lagi, yang jelas, kesabaran dalam menunggu diperlukan oleh semua pihak. Syarikat A terus tertekan dan turut menghubungi Mokcik 3 dan Mokcik 2 berkenaan status pembayaran itu. Mokcik 2 menyatakan kepada Pokcik 3A Pihak Syarikat A menyatakan mereka tidak mempunyai bajet untuk membayar gaji dan bonus raya untuk kakitangan mereka. Rasa kasihan juga dihati Pokcik 3A jika benar itu berlaku. Pokcik 3A hanya boleh menyatakan mereka perlu bersabar, kerana kita tidak boleh merancang masa hadapan. Kita hanya boleh berusaha sahaja. Kadang-kadang timbul jua dalam benak Pokcik 3A benarkah ini berlaku. Nilai barangan tersebut hampir setengah juta boleh mereka bekalkan, bagaimana hanya lewat pembayaran yang bernilai puluhan ribu ringgit sahaja boleh menyebabkan tidak boleh membayar gaji. Adakah helah semata-mata.
Dalam hal ini, Pokcik 3A serba salah. Jika tidak diterangkan hal sebenar kepada Mokcik 3, mungkin sudah dibayar tetapi tidak adil untuk pihak Pengguna A memandangkan belum sempurna sebanyak 15% ketika itu perkhidmatan tersebut. Dalam pandangan Pokcik 3A, Mokcik 3 sudah berpengalaman dalam pengurusan kewangan. Walaupun tegas, pengalamannya amatlah perlu dititikberatkan untuk mengelakkan kerugian jika syarikat menipu. Apa yang dirisaukan oleh Mokcik 3 adalah, jika telah dibayar separuh pun, mungkin mereka akan batalkan perjanjian penerimaan baki duit tersebut kerana sukarnya untuk melaksanakan penguurusan barangan ini. Mokcik 3 pun tidak boleh disalahkan.
Apa yang boleh diharapkan lagi. Penantian sahajalah. Pekerja-pekerja Syarikat A tidak mendapat bonus untuk lebaran kali ini. Pihak berkuasa tiada masa untuk menguruskan pengeluaran lesen ini. Mungkin kerana kesibukan dan juga suasana raya yang akan menjelma tidak lama lagi. Pokcik 3A cuba menghubungi mereka tetapi tiada respon. Pokcik 3A juga telah memohon Uncle 2 dan Pakcik 3 menghubungi mereka untuk mengetahui status, tetapi masih belum dikeluarkan. Tunggulah sahaja. Apa-apapun, mungkin ini sudah suratan takdir, tiada bonus untuk pekerja Syarikat A.
Pokcik 3A memang serba salah, mungkin ada pihak yang menyalahkannya. Pokcik 3A hanyalah bidan terjun sahaja dalam hal ini. Mula dengan membantu menguruskan, sehingga 100% dibebankan atas hal ini. Ini baru sahaja untuk lesen barangan, belum lagi lesen pengendali/manusia. sebelumnya, dia disuruh mengendalikan barangan ini. Nasib baik dapat diketahui tidak boleh dikendali kerana memerlukan lesen khas. Allah sahaja yang tahu kegusaran ini. Apapun, segalanya perlulah tawakal kepada Allah. Itulah senjata yang paling afdal sekali pada benak Pokcik 3A. Pada benak Pokcik 3A, walaupun menentang arus, segalanya akan berhasil jika tepat pada masanya dan bersabar dalam segala hal. Dalam pada itu, pekerja-pekerja Syarikat A perlu juga bersabar walaupun tidak mendapat bonus hari raya (jika benar) kerana jatuh bangun itu adalah lumrah. Selain itu, kos pembelian barangan ini lebih kurang setengah juta, maksudnya syarikat A mampu membeli, tak kanlah hanya kelewatan pembayaran bernilai puluhan ribu sahaja tidak mamapu membayar gaji? Ini masih menjadi kemusykilan di benak Pokcik 3A sehingga sekarang.
Kesimpulan
Ingatlah, bahawasanya masing-masing ada kesalahan mereka yang tersendiri. Cerita di atas adalah satu adaptasi kancah kehidupan di alam pekerjaan. Sesetengah pihak akan cepat melatah dan menuding jari kepada seseorang untuk mencari kesalahan. Amat mudah untuk menyalahkan seseorang jika kita tidak berada dalam situasi tersebut. Bayangkan, jika cerita itu sekerat jalan, pasti seseorang akan menyalahkan seseorang yang lain.
Laukaanu ya’lamuun.